LightBlog
Notis : Kami membuka satu group baharu "MindaRakyat" di Telegram. Anda boleh berborak apa sahaja di sini. Group ini terbuka dan tiada sekatan. Group ini menerima RSS (suapan berita) daripada blog ini secara berkala. >> Masuk < <

Puisi Guru Kimia : Aku Jadual Berkala


Mesejnya sampai, dan yang penting cukup kreatif sebab dikaitkan dengan kimia. Saya kongsikan di sini untuk tatapan cikgu Sains dan Kimia yang lain juga.

PUISI AKU JADUAL BERKALA

Di mana duduknya aku
Sebagai seorang guru
Di dalam Jadual Berkala itu....

177 unsur tersusun rapi
Asas yang kukuh rintisan Dimitri
Tertib menaik jisim atom dikaji
Ruang kosong ditinggal buat yang belum ditemui
Konsep nombor atom idea cetusan Moseley

Sesuaikah aku seorang guru
Sebagai unsur kumpulan satu
Logam alkali nama gelaran
Sifat berubah menuruni kumpulan
Lembut bahasa di kelas hadapan
Bertukar garang bersama kelas belakang
Lantaran sikap pelajar yang suka berdendang
Ibarat litium dengan air memberi tindak balas perlahan
Umpama seketul kalium dengan air bisa menjadi punca kebakaran
Mampukah aku membuat penyesuaian
Dalam menongkah arus perubahan dunia pendidikan..

Atau
Biar aku menjadi gas adi
Neon argon kripton xenon nama diberi
Di kumpulan 18 megah berdiri
Tetapi lengai secara semulajadi
Petala valens telah lengkap diisi
Tidak perlukan sesiapa di sisi
Selesa hidup sendiri tanpa perlu terima elektron atau tanpa perlu berkongsi
Mungkin tidak.. kerana aku punyai visi
Mendidik kalian demi pertiwi
Sahabat sahabat guru perlu berada di sisi
Saling membantu dan menyokong sesama sendiri
Terus mendidik menabur bakti

Atau
Unsur kumpulan 17 lebih bersesuaian
Unsur halogen nama timangan
Molekul dwi atom yang berpasangan
Berbau sengit, beracun dan arus elektrik tidak dialirkan
Tidak sesuai... kerana di dalam kelas aku berseorangan yang mengajar kalian
Tanpa pasangan tanpa tuan pengetua sebagai peneman

Mungkin
Biar aku menjadi unsur peralihan
Duduk di tengah tengah diapit di kiri dan kanan
Banyak sifat istimewa dengan pelbagai pilihan
Seperti ferum yang punyai 2 nombor pengoksidaan
Ibarat kobalt yang berwarna merah jambu dalam larutan
Tanda ion ion unsur peralihan menunjukkan kehadiran
Begitulah seorang guru perlu menyesuaikan
Sifat sifat istimewa perlu ditonjolkan
Demi mempelbagaikan aktiviti pembelajaran

Namun
Biarlah aku hanya menjadi
Unsur karbon yang jarang dikaji
Arang yang hitam legam kadang dibenci
Intan berlian berkilau yang dipuji
Sebagai lilin yang menyalakan api
Membakar diri sendiri untuk menerangi
Kehidupan dan masa depan pelajar yang disayangi
Aku tidak akan pernah berhenti
Menabur bakti yang luhur dan murni



Kredit : Cikgu Shehdi




NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/

Puisi Guru Kimia : Aku Jadual Berkala Puisi Guru Kimia : Aku Jadual Berkala Reviewed by Assistant Editor on October 04, 2018 Rating: 5

No comments:

Arkib Blog

Comments

Nota: